Feb 2, 2011

Hujan 'luar biasa' dan banjir di Sandakan

Sejak hari Ahad 23hb Januari lalu, Sandakan dah mulai disirami hujan lebat yang 'luar biasa' dan angin kencang yang tak kenal siang atau malam. Keadaan ini berlarutan sehingga hari Jumaat 28hb apabila hujan yang turun seakan semakin deras dan 'memukul'. Dan pada 28hb Januari bersamaan hari Jumaat, berlakunya banjir "berlumpur" yang paling teruk melanda hampir di seluruh Sandakan ini.

Lautan banjir di kawasan perumahan sekitar Batu 7
dan juga banjir lumpur di perumahan Batu 4

Sudah 4 kali aku mengalami keadaan sebegini dan bagi aku, banjir kali ini adalah yang paling teruk sekali kerana ianya melibatkan sebilangan besar kawasan di Sandakan. Mana tidaknya, banjir menenggelamkan beberapa kawasan perumahan sekitar Batu 7, Bandar Nam Tung dan Pusat Bandar Sandakan. Ekoran daripada hujan lebat berterusan juga telah menyebabkan tanah runtuh di kawasan Tanah Perkuburan Islam Jalan Buli Sim-Sim yang mana Masjid di situ turut dilimpahi dengan tanah berlumpur, begitu juga dengan keadaannya di Masjid Jamek Bandar Sandakan, dan banyak kawasan lain lagi yang tak dapat aku pastikan.

Runtuhan Tanah Perkuburan Islam di Jalan Sim-Sim
dan limpahan tanah lumpur di Masjid Jamek Sandakan

Apa yang dapat aku katakan adalah memang amat payah mengharungi hidup sepanjang menghadapi situasi banjir sebegini. Rasa penat, kepayahan, mengantuk, kerisauan, kebimbangan dan harapan serta doa silih berganti. Meskipun ini suatu bencana alam, namun sebagai hamba Allah S.W.T aku redha dengan ketentuanNya. Timbul pertanyaan dalam diriku sendiri, apakah tanah kelahiranku Sandakan ini telah "kotor"? Makanya, berlaku hujan lebat yang luarbiasa hingga berlaku banjir disertai "lumpur" yang banyak? Kejadian hujan lebat dan banjir 'lumpur' ini seakan "menyuci'kan kekotoran yang telah menodai daerah ini. Maaf ya, ia hanya pandangan neutral dari insan kerdil seperti aku saja. Wallahua'alam.

Lautan banjir sekitar pusat Bandar Sandakan & Bandar Nam Tung

Namun apapun segala yang berlaku adalah atas kehendak Allah Taala jua. Musibah yang melanda tak perlulah dipertikaikan dan menyalahkan mana-mana pihak kerana tiada siapa mampu melawan kuasa alam. Dunia hanya pinjaman, akhirat jua kekal selamanya. Sebagai hambaNya aku redha dan menerimanya sebagai satu ujian yang memberi ingatan kepada diriku sendiri bahawa hidup ini tidak selamanya indah. Justeru, kita hendaklah sentiasa bersyukur dengan nikmat dan kurnia yang telah diberikanNya.

Semoga ada rahmat di sebalik kejadian ini. Insyaallah.