Dec 23, 2010

Manis mulut, lain di bibir...dalam hati, wallahualam..

"Manis mulut, lain di bibir...sangatlah merbahaya....." antara bait-bait lagu nyanyian Zainal Abidin. Walaupun ia hanya ungkapan nyanyian dalam lagu, tapi realitinya tidak perlulah disangkal lagi. Lumrahnya kita bergelar insan biasa, perkara sebegini memang ada berlaku disekeliling kehidupan kita. Bukan niat untuk mengata, tapi inilah realiti inilah hakiki kehidupan normal manusia. Tidak semua, namun dalam seribu pasti ada. Mungkin, ini yang dinamakan sikap peribadi diri yang sukar dikawal. Bila sukar dikawal, maka ianya menjadi tebiat dan lama-kelamaan menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi sebati. Wallahu'alam.

Kenapa manis mulut lain di bibir?

Manis di mulut; dalam berbicara, ungkapan yang dituturkan sangat baik, manis belaka. Bila berbicara, segalanya indah dan baik belaka, segala puji-pujian dan sanjungan diberikan.

Tapi, lain di bibir; bila yang dituturkan itu tidak ikhlas dan tidak benar luahannya. Sebaliknya lain pula di belakang, penuh sindiran sinis, menikam dari belakang, gunting dalam lipatan atau talam dua muka dan macam-macam yang buruk dilemparkan. Mungkin, ini yang dikatakan "lain di bibir".

Jikalau sudah demikian keadaannya, apatah lagi hatinya. Kerana manis mulut lain di bibir ini akan sering memperdaya dan mungkin boleh juga menjerumus kepada perkara fitnah dan sebagainya. Nauzubillah...Justeru, bagi aku, cukuplah mata kita melihat, telinga kita mendengar dan hati kita merasa. Hanya doa dapat dipanjatkan agar insan seperti ini dapat berubah dan menemui jalan kebaikkan. Selebihnya itu, hanya Allah s.w.t. sahaja Yang Maha Mengetahui, wallahu'alam.